Sunday, April 5, 2009

Teruja



Era Baru Malaysia Bermula



Para pemimpin itu sentiasa datang dan pergi, bertukar bersilih ganti. Kini sebaik saja Najib menjadi Perdana Menteri, ia sebenarnya merupakan satu peluang besar bagi rakyat Malaysia untuk meninggalkan segala persengketaan dan keserabutan yang lalu. Turut mengembirakan hati saya tika ini ialah Dr. M bersama isterinya telah menyertai UMNO kembali setelah hampir setahun meninggalkan parti. Bahkan yang lebih teruja, beliau menyatakan kesediaannya mahu membantu UMNO dan Barisan NASIONAL dalam pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau serta Batang Air. Selamat kembali saya ucapkan kepada Tun Dr.Mahathir Mohamad bersama isteri!!

Peralihan kuasa ini merupakan lembaran baru untuk semua rakyat Malaysia memasuki era baru dengan tampuk pemerintahan pemimpin baru. Biarpun ada usaha termasuk di saat-saat akhir mahu mengagalkan peralihan termasuk menerusi gerakan politik ketua pembangkang, Anwar Ibrahim namun jawatan tersebut tetap diamanahkan kepada Najib.

Teringat kepada sabda baginda Rasulullah SAW : Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya-(Riwayat al-Bukhari).

Khalifah Umar Abdul al- Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti saat kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya kepada anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya: "Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Bayangkan sampai begitu sekali hebat rasa takutnya sahabat untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Ya Allah, aku juga tidak terkecuali dari mereka.. . Bantu dan bimbinglah aku bersama-sama mereka pejuang-pejuang yang lain agar tidak menyimpang dari landasan~Mu.

Hari ini kita mendapat Perdana Menteri yang baru. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah sentiasa merahmati rakyat serta pemimpinnya untuk sentiasa diberi kekuatan menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Walaupun mungkin ramai pemimpin itu tahu akan tanggungjawabnya, tetapi mereka perlu sentiasa diingatkan. Maka disitulah letaknya peranan kita sebagai rakyat.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tahniah dan takziah dari saya. Taniah atas kepercayaan negara, takziah pula atas beban amanah yang perlu dipikul. Semoga YAB berjaya menjadi pemimpin yang mantap dan berwibawa yang berjaya bukan hanya di dunia bahkan jua di akhirat sana. ~Dari kejauhan saya mendoakan.