Monday, July 6, 2009

One Turning Point

Bismillahirahmanirrahim,



Kehidupan di dunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar untuk memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan perbendaharaan ilmu masing-masing. Allah SWT menyediakan tenaga pengajar yang cukup mahir terdiri daripada para anbiya dan juga rasul a.s dan kemudiannya di sambung pula tugas mulia itu oleh para ulama sehingga kiamat.


Justeru Tuhan telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia melepaskan diri dari kejahilan, sehingga tidak seorang pun di dataran Mashyar kelak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa tidak ada kemudahan untuk menimba ilmu, dan tidak mungkin dapat menafikan bahawa para rasul telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, kerana setiap rasul itu memiliki sifat tabligh yakni menyampaikan setiap wahyu yang dikurniakan oleh Allah SWT. Para rasul sudah menyediakan garis panduan yang selengkapnya, dan menunjukkan jalan-jalan lurus dan selamat yang mesti di lalui oleh manusia. Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yg lurus, para rasul juga memberikan beberapa amaran adanya bahaya jalan yang berliku dan bersimpang-siur itu agar manusia waspada kerana jalan yg bersimpang-siur itu boleh menyebabkan manusia tersesat jalan.




Firman Allah SWT di dalam surah al-An’aam ayat 153 yang bermaksud;

“Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu tempuhi jalan yang lain, kerana jalan yang bersimpang-siur itu akan mencerai-beraikan (menyesatkan) kamu dari jalan–Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.”


-(al-An’aam :153)



~~~<~~~<~~~<@