Showing posts with label Inspiration: Cinta dan harapan. Show all posts
Showing posts with label Inspiration: Cinta dan harapan. Show all posts

Tuesday, June 16, 2009

Muhammad & Khadijah




Bismillahirahmanirrahim..




Pernikahan...





Khadijah r.a diminta pendapat. Dengan jujur ia berkata kepada Waraqah: “Hai anak bapa saudaraku, betapa aku akan menolak Muhammad SAW padahal ia sangat amanah, memiliki keperibadian yang luhur, kemuliaan dan keturunan bangsawan, lagi pula pertalian kekeluargaannya luas”.



“Benar katamu, Khadijah, hanya saja ia tak berharta”, ujar Waraqah.


“Kalau ia tak berharta, maka aku cukup berharta. Aku tak memerlukan harta lelaki. Kuwakilkan kepadamu untuk menikahkan aku dengannya,” demikian Khadijah r.a menyerahkan urusannya.


Waraqah bin Naufal kembali mendatangi Abu Thalib memberitakan bahawa dari pihak keluarga perempuan sudah bulat muafakat dan merestui bakal pernikahan kedua mempelai. Lamaran diterima dengan persetujuan mas kahwin lima ratus dirham. Abu Bakar r.a, yang kelak mendapat sebutan “Ash-Shiddiq”, sahabat akrab Muhammad SAW. sejak dari masa kecil, memberikan sumbangan pakaian indah buatan Mesir, yang melambangkan kebangsawaan Quraisy, sebagaimana layaknya dipakai dalam upacara adat istiadat pernikahan agung, apalagi kerana yang akan dinikahi adalah seorang hartawan dan bangsawan pula.




Peristiwa pernikahan Muhammad SAW dengan Khadijah r.a berlangsung pada hari Jumaat, dua bulan sesudah kembali dari perjalanan niaga ke negeri Syam. Bertindak sebagai wali Khadijah r.a ialah bapa saudaranya bernama ‘Amir bin Asad, sedang Waraqah bin Naufal membacakan khutbah pernikahan dengan fasih, disambut oleh Abu Thalib sebagai berikut: “Alhamdu Lillaah, segala puji bagi Allah Yang menciptakan kita keturunan (Nabi) Ibrahim, benih (Nabi) Ismail, anak cucu Ma’ad, dari keturunan Mudhar.



“Begitupun kita memuji Allah SWT Yang menjadikan kita penjaga rumah-Nya, pengawal Tanah Haram-Nya yang aman sejahtera, dan menjadikan kita hakim terhadap sesama manusia.

“Sesungguhnya anak saudaraku ini, Muhammad bin Abdullah, kalau akan ditimbang dengan laki-laki manapun juga, nescayalah ia lebih berat dari mereka sekalian. Walaupun ia tidak berharta, namun harta benda itu adalah bayang-bayang yang akan hilang dan sesuatu yang akan cepat perginya. Akan tetapi Muhammad SAW, tuan-tuan sudah sama mengenalinya siapa dia. Dia telah melamar Khadijah binti Khuwailid. Dia akan memberikan mas kahwin lima ratus dirham yang akan segera dibayarnya dengan tunai dari hartaku sendiri dan saudara-saudaraku.
“Demi Allah SWT, sesungguhnya aku mempunyai firasat tentang dirinya bahawa sesudah ini, yakni di saat-saat mendatang, ia akan memperolehi berita gembira (albasyaarah) serta pengalaman-pengalaman hebat.


“Semoga Allah memberkati pernikahan ini”.



Penyambutan untuk memeriahkan majlis pernikahan itu sangat meriah di rumah mempelai perempuan. Puluhan anak-anak lelaki dan perempuan berdiri berbaris di pintu sebelah kanan di sepanjang lorong yang dilalui oleh mempelai lelaki, mengucapkan salam marhaban kepada mempelai dan menghamburkan harum-haruman kepada para tamu dan pengiring.



Selesai upacara dan tamu-tamu bubar, Khadijah r.a membuka isi hati kepada suaminya dengan ucapan: “Hai Al-Amiin, bergembiralah! Semua harta kekayaan ini baik yang bergerak mahupun yang tidak bergerak, yang terdiri dari bangunan-bangunan, rumah-rumah, barang-barang dagangan, hamba-hamba sahaya adalah menjadi milikmu. Engkau bebas membelanjakannya ke jalan mana yang engkau redhai !”



Itulah sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kekayaan”. (Adh-Dhuhaa: 8)



Alangkah bahagianya kedua pasangan mulia itu, hidup sebagai suami isteri yang sekufu, sehaluan, serasi dan secita-cita..



~~~<~~<~~<@

Sunday, May 3, 2009

Sebuah Mahar Cinta


Nabi saw bersabda: “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara . Kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya akan beruntunglah kedua-dua tanganmu” -(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)




Persediaan Melayarkan Sebuah Bahtera Kasih

Orang bujang yang masih rasa malu-malu atau lucu apabila memperkatakan tentang hal ehwal perkahwinan, ia adalah salah satu tanda yang dirinya belum sampai masa untuk berkahwin. Bersedialah dari sekarang, kematangan anda dinilai, sebelum sebuah bahtera perkahwinan bersedia dilayarkan. Berpandangan isteri beragama yang dimaksudkan Rasulullah SAW tidak semestinya diukur dari sudut jurusan ilmu atau bidang pengajian semasa di universiti, tetapi akhlaknya dan sejauh mana amalannya terhadap ilmu-ilmu syariat yang dipelajarinya walaupun sedikit.

Lebih penting hikmah yang diperolehinya setelah amalan dilakukan dengan ikhlas. Disiplin akademik di universiti tidak penting. Mungkin seseorang itu dari bidang sains tetapi luas pembacaannya tentang lapangan ad Din amatlah sempit, terhad dan tertutup. Sebaliknya insan yang mempelajarinya melalui saluran lain secara tidak formal atau seperti hanya menghadiri kuliah di masjid, menonton program televisyen berbentuk perbincangan agama, dan sebagainya bahkan mungkin itu adalah lebih baik dan berkualiti.

Kita perlu pada anjakan paradigma, sepertimana di tonjolkan oleh Baginda SAW sebagai seorang suami, terutama dalam menilai sifat agama pada perempuan yang hendak dicari sebagai isteri. Menilai terlebih dahulu dari sudut hati atau batiniah sebelum lahiriah.



Bercinta Hingga Ke Syurga

Kadang kala penampilan sesorang itu nampak tip top, berkopiah, berjanggut sejemput, bertudung labuh, berpurdah dan lain-lain lagi, namun apabila golongan ini mula terjebak dalam masalah sosial tidak sihat seperti bercouple umpamanya, "siapa yang tidak mahu bercinta dan dicintai", saya melihat ada petanda yang kurang sedap pada hati masing-masing, ada masalah hati.

Makan tak kenyang, tidur tak lena, dan mandi tak basah, kerana setiap detik dan masa fikiran telah tertumpah pada keayuan wajah si 'cewek', yang di katakan solehah, dan cantik bak bidadari. Inilah dikatakan 'Pungguk Rindukan Bulan'. Memang mudah nak mengubah luaran, namun teramat susah nak mengikis karat jahiliah dalam hati. Jika terpaksa mengurung atau memenjarakan keinginan nafsu yang terlalu memuncak, cuba lakukan sedaya mungkin. Jika terpaksa melepaskan keseronokan yang sering melalaikan Iman, cuba buktikan tanpa banyak soal.

Biar merana dahulu sebelum merana kemudian.



Pesan-Memesan...

Sesungguhnya aku tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam hidupku pada masa depan. Aku tak mampu untuk meramalnya. Hari ini mungkin aku katakan ini kepada kalian tetapi adakah hatiku akan tegar seandainya Dia menguji aku dengan perkara yang sama pada masa depan? Apakah Iman aku akan tegar seperti mana detik waktu aku menulis tinta ini??? Ya Allah.. Sungguh aku tidak tahu... Hanya titipan doa yang mampu aku panjatkan pada Ilahi supaya aku terkecuali dari tergoda dengan fitnah duniawi ini. Aku katakan ini juga sebagai peringatan buat diriku manusia yang penuh dengan sifat kelalaian.

Maafkan aku wahai sahabat andai aku tidak menegur kalian. Hati aku membenci apa kalian lakukan, tapi aku hanya mampu menasihati dari jauh. Aku hanya mampu mengalirkn air mata menahan amarah apabila kau tidak mampu memahami kenapa aku diam membisu dalam membenci tindakan kalian walaupun sudah banyak kali menegur. Diam aku bukan kerana benci pada kalian, tetapi marah aku pada perbuatan kalian. Bukan kerana aku dengki, tapi kerana sebuah kasih sayang aku pada kalian.

Bermujahadahlah wahai sahabat pembaca budiman. Jagalah kesucian syariat agama kita. Biarlah diri dicemuh, mahupun disisihkan, asalkan hatimu, agamamu tetap terjaga menunggu masa yang dijanjikan Allah Taala buatmu bersama kekasih halalmu. Aameen..



~~~~<~~~<~~<@



Saturday, May 2, 2009

Kagum

Sea turtle yang dikagumi.. huhuuu

Seorang pengagum yang tak layak dikagumi adalah pengagum yang ingin dikagumi. Namun aku berasa kagum dan mengagumi benar akan hal-hal yang tak dikagumi dari seorang pengagum. Meski mereka yang di sana tak terkagumi olehku sebagai seorang pengagum yang kagum terhadap hal-hal yang tak dikagumi dari seorang pengagum yang ingin dikagumi. Seorang pengagum yang tak layak dikagumi adalah pengagum yang ingin dikagumi.

Iya..kalau anda tak kenal dan tak tahu orang itu di mana dan orang itu bukan seperti aku yang sedang berlayar tulisan ini dan anda yang bukan mengagumkan melainkan hanya tahu membuat geli, dan itu membuat aku berterima kasih, belum layak jadi pengagum. Namun aku berasa kagum dan mengagumi benar akan hal-hal yang tak dikagumi dari seorang pengagum.


Wallahu'alam.. ^_^

Monday, April 20, 2009

Kerana Ini Jalan Pilihanku




Berapa kali aku kata aku bukan belajar di London ! Aku belajar di Swansea , di salah satu tempat di Wales !

‘ Aku dah bagi tau kat hang banyak kali dah! Kalau pi London tu jangan buat perangai tak elok! Jangan malukan mak ayah! Hang pi sana untuk belajaangg. Bukan untuk jadi pendakwah!’

Swansea ayah, Swansea ! Bentak hatiku.

Aku tak mengerti mengapa semua orang Malaysia menganggap jika belajar di UK itu maksudnya adalah belajar di London.

‘ Tak mengapa Sham, aku dok belajar di Ireland ni pun mak aku kata aku belajar di London.’ Teringat kata-kata Izzul, teman serumahku di saat kami berbual.Aku mengeluh di saat gagang telefon belum ditutup. Ayah masih meneruskan ceramahnya yang panjang lebar. Terasa bingit apabila suara garaunya menembusi gegendang telingaku.

‘Aku dah bagi tau kat hang, dok London tu belajaangg. Buat apa nak enjoy-enjoy sangat. Bukan senang nak pi overseas tu, tau? Semua orang kampong ni tau yang anak ayah pi London . Mana aku nak letak muka jika hang balik tak bawak apa2 selain bini hang tu ja? ’

Dia masih tidak berkata apa-apa. Membiarkan si ayah memuntahkan segala isi hatinya yang terbeku. Padanya ayah tidak mengerti apa-apa yang di alaminya di bumi berhawa dingin itu. ‘ Usrah-usrah tu bukan tak bagus. Aku suka anak aku jadi anak soleh. Tapi jangan sampai berlebih-lebihan. Jangan sampai kau tak study langsung. Nak belajar Islam itu belajar juga, tapi janganlah berlebihan. Islam itukan wasatiah. Berpada-pada. Kita jangan terlalu ekstrim. Biar Islam kita Islam hadhari’. Teringat dulu ayah pernah bertanya kepadaku erti wasatiah. Dia jumpa dalam buku kitab kuning katanya. Aku katakan itu bermakna berbuat sesuatu biar pada kadarnya, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

‘ Ayah memang kecewa dengan kau, Sham. Kau tak kasihan ke pada mak ayah. Macam mana nanti kami nak tanggung malu jika kau balik tak bawak apa-apa? Kau nak cari kerja macam mana nanti? Nak tanggung anak bini kau lagi. Kau nak kasi mereka makan pasir ke?’

Aku merenung lantai di bawah telapak kakiku. Kosong.

Di sisiku, bidadari yang menerangi rumah tanggaku duduk bersimpuh sambil menanti-nanti ucapan dari bibirku. Kasihan dia, tentu dia gundah melihat reaksiku berbicara dengan ayah di balik telefon. Setiap kali aku mahu menjawab kata-kata ayahku, si bidadari menyentuh lembut bahuku dan membuka ayatNya yang menyirami api amarah hatiku;


‘Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah keduanya perkataan yang baik’ ( Al-Isra’: 23)


Benarlah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Aku melirik dengan hati yang tenang pada wajah bercahaya si bidadari. Dia bukanlah dikalangan wanita yang dikatakan sebagai jelita. Hidung sedikit sepet, kulitnya sawa matang dan ada pancaran-pancaran jerawat di mukanya. Badannya sedikit gebu.

Tapi aku tidak melihat kesemua itu kerana di saat aku ditanya oleh abang usrahku akan kriteria calon isteri pilihanku, jawapanku hanyalah; dia seorang akhwat yang mengikuti tarbiyah dan melaksanakan ajaran Islam. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah menyesal membuat pilihan itu.
‘Ayah…’ ujarku dengan nada yang lembut sambil menahan gelojak di hati yang tersinggung dek tuduhan-tuduhan si ayah.
‘Ayah, Hisham sebenarnya bukan fail exam keseluruhan ayah. Hisham cuma fail satu modul sahaja.’
‘Sama jelah . Kalau dah fail tu fail juga…’ Ayah memotong.
‘Bukan begitu. Maknanya Hisham boleh ambil balik modul itu dan lulus. Tak perlu pun nak kena ulang tahun.’
Aku membayangkan betapa terkejutnya ayah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung.

Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan kedai runcit di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya.

‘Abang ikut tabligh kot, Angah.. Balik rumah asyik pakai baju putih je’

Begitu kata adik bongsuku tatkala ditanya. Abang enggan berbicara denganku. Aku sendiri tak mengerti kenapa. Mungkin berasa malu.Barangkali kerana itu ayah melenting dan terkejut. Tapi Hisham tak ikut tabligh ayah ! Hisham ikut tarbiyah !

‘Modul periksa itu modul terakhir Hisham kena ambil. Tapi waktu periksa hari itu, Hawa dan Hisham kene demam panas. Hisham pergi juga ambil periksa waktu itu, walaupun tak dapat nak jawap soalan periksa betul-betul.'

Ayah berdengus kasar. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapanku.

‘Apapun, ayah tak nak kamu gagal lagi. Kamu kalau ikut-ikut usrah pun jangan sampai tak belajar. Kita biasa-biasa sudahlah. Tak perlu sampai nak jadi pendakwah. ’

Kadang-kadang aku kecewa mengapa ramai menganggap bahawa faktor utama kegagalan seseorang yang aktif menghadiri pertemuan-pertemuan ilmu itu adalah kerana kesibukannya. Ramai lagi manusia yang gagal dalam pelajaran tapi mereka itu sibuk dengan kefoyaan mereka berhibur serta menghabiskan masa dengan perkara yang langsung tidak berfaedah. Pertemuanku dengan seorang sahabat yang memberi cahaya kepada kehidupanku kini adalah pertemuan yang paling membahagiakan hidupku.

Sahabat itulah yang menjadi naqib usrahku dan menjodohkanku dengan Hawa. Saat aku jatuh cinta dengan tarbiyah, saat itulah aku mengetahui erti kepada makna kehidupannya di atas muka bumi ini.

‘Kau sanggup berkorban duit dan masa semata-mata nak pergi usrah Sham?

Get a life mannn!

Takkan masa muda kau ni nak habiskan masa baca Quran je? Kau tak bosan ke dengar ceramah-ceramah? Ke hulu-hilir pergi entah kemana-mana entah. Kau boleh tolak tau kalau orang ajak kau.

'Kau jangan paksa diri Sham,’ Itulah kata-kata teman serumahku di kala mereka selalu melihat aku hilang dari bilikku.

‘Tapi aku tak jumpa ketenangan dan kebahagian bila aku buat apa yang kita buat selama ini. Usha awek cun, main game, tengok wayang dan lepak-lepak. Mula-mula aku rasa best lah. Tapi lama-lama aku rasa boringlah. Hidup takde tujuan. Buat camtu pun aku rasa buang duit dan masa juga.’

‘Kau memang dah berubahlah, Sham.’

Dan di saat itu, aku mula merasakan hubunganku dengan teman serumahku semakin renggang. Nyata jalan kami adalah dua jalan berbeza. Pemikiran kami berbeza. Kesukaan kami begitu juga.Aku berasa bahagia tatkala berjumpa dengan teman seperjuanganku namun aku sedih melihat teman serumahku masih leka dengan kefoya-foyaan sementara. Duhai teman, jika dikau mengetahui betapa nikmatnya jalan yang berliku namun penuh cahaya ini tentu kamu takkan tersilau dengan hiburan sementara di atas dunia ini.
Kehidupan yang kau lalui sekarang ini adalah jalanyang gelap, yang tidak bermakna apa-apa walaupun kelak kita sama-sama pulang membawa segulung ijazah, kerana kehidupan sedemikian menjanjikan suka sebentar, tetapi duka selamanya di akhirat nanti.

‘ Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi,’ ( Al-A’raf: 7)


Aku berdoa agar keluargaku dan sahabat-sahabatku akan mendapat pancaran hidayah ini. Aku berdoa agar mereka menyintai ilmu, menyintai Islam dan mahu beramal dengannya. Kerana hidup di bumi UK ini, perbezaan antara kafir dan Islam adalah terang dan jelas. Minum arak, pergaulan bebas, pergi kelab malam dan makan babi adalah nyata perkara haram. Tetapi di Malaysia sangat sukar untuk menilai manakah Islam manakah yang bukan kerana orang Islam sendiri minum arak, pergi ke kelab malam dan berfoya-foya. Oleh kerana itu tidak hairan jika ramai graduan luar negara apabila pulang ke tanahair akan lebih dekat dengan Allah, kerana keadaan kehidupannya menjadikan dia sedemikian.
Dia memerlukan Allah untuk hidup. Dia memerlukan Allah untuk menjadikan dia kuat menahan cabaran kekufuran. Sebab itu di saat sahabat-sahabat seperjuangan mengajaknya untuk belajar tentang agama Allah, hatinya tidak menolak, kerana dirasakan bahagia di saat hatinya dekat dengan Allah. Dan dia buntu memikirkan bagaimanakah lagi dia boleh membawa teman serumahnya mengikuti jalan yang dia ikuti kini.


‘ Wahai orang-orang yang beriman. Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu,’ (Anfal:24)


Kerana itu Hisham ikut usrah ayah! Kerana Hisham mahu merasai cahaya itu! Dan Hisham mahu orang sekeliling Hisham turut merasai cahaya keimanan tersebut. Kegagalan yang Hisham hadapi sekarang ini bukanlah kerana kesibukan Hisham tapi adalah semata-mata kerana Allah mahu menguji Hisham. Sebab semakin Allah sayangkan hambanya semakin Allah berikannya ujian. Jangan ayah salahkan usrah hanya kerana Hisham gagal! Mahu sahaja dilontarkan kata-kata itu kepada ayahnya yang separa uzur. Dia mahu ayahnya memahaminya walaupun sukar. Dan dia berazam untuk berbakti kepada ayah tatkala dia pulang nanti. Dia mahu tunjukkan bahawa apa yang dia dapat di negara orang putih ini adalah perkara yang terbaik pernah berlaku pada dirinya.


‘Abang… .. . . ’


Lamunannya terhenti selepas sahaja dia meletakkan gagang telefon.
‘Result abang dah dapat dah ini..’

Siti Hawa berlari-lari anak sambil membawa sampul putih ke arahku.Aku membuka sampul itu dengan penuh hati-hati dan perlahan-lahan.. ‘Alhamdulillah….’ Sambil menoleh ke arah isteriku dengan senyuman penuh makna. Pantas jemariku mengambil telefon kelui di atas katil sambil menekan punat dial.


'Assalamualaikum ayah.., Hisham dapat first class honor.…. '’ Dan di saat itu dia merasakan bahawa angin-angin sepoi bahasa di luar sana turut merasai keriangan hatinya…



Friday, April 3, 2009

It Might Be U



Ketika Cinta Berbuah Syurga



DI TANAH KURDISTAN ada seorang raja yang adil dan soleh. Ia memiliki seorang anak lelaki yang tampan cerdas dan berani. Saat-saat yang paling menyenangkan bagi sang raja adalah ketika ia mengajari anaknya itu membaca Al-Quran, lalu menceritakan kepadanya kisah-kisah kepahlawanan para panglima dan tenteranya di medan pertempuran. Anak raja bernama Said itu sangat gembira mendengar penuturan kisah ayahnya. Si kecil Said akan merasa geram, jika di tengah-tengah ayahnya bercerita, tiba-tiba ada orang yang memutuskannya. Terkadang ketika sedang asyik mendengarkan cerita ayahnya, tiba-tiba pengawal masuk memberitahukan ada tetamu penting yang harus ditemui. Sang raja tahu apa yang dirasakan anaknya. Maka ia memberi nasihat pada anaknya:

"Said, Anakku, sudah saatnya kau mencari teman sejati yang setia dalam suka dan duka kepadamu. Teman yang baik yang membantumu untuk menjadi orang baik. Teman sejati yang boleh kau ajak bercinta untuk syurga," Said tersentak mendengar perkataan ayahnya.
"Apa maksud ayah dengan teman yang boleh diajak bercinta untuk syurga?" tanyanya dengan nada penasaran.


"Adalah teman sejati yang dia benar-benar mahu berteman denganmu bukan kerana darjatmu tapi kerana kemurnian cinta itu sendiri yang tercipta dari keikhlasan hati. Dia mencintaimu kerana Allah. Dan dengan dasar itu kau pun boleh mencintainya denagn penuh keikhlasan kerana Allah. Kekuatan cinta kalian akan melahirkan kekuatan yang dasyat yang membawa manfaat dan kebaikan. Kekuatan cinta itu juga akn bersinar dan membawa kalian masuk syurga."


"Bagaimana caranya mencari teman seperti itu Ayah?" tanya Said.
Sang raja menjawab: "Kamu harus menguji orang yang hendak kau jadikan teman. Ada sebuah cara menarik untuk menguji mereka. Undanglah siapa yang kau anggap sesuai menjadi temanmu untuk makan pagi di sini, di rumah kita. Jika sudah sampai di sini, tangguhlah dan perlamalah waktu penyajian makanan. Biarkan mereka semakin lapar. Lihatlah apa yang kemudian mereka perbuat. Saat itu rebuslah tiga telur. Jika ia tetap bersabar baru hidangkanlah tiga telur itu padanya, dan lihatlah apa yang kemudian mereka perbuat! Itu cara yang paling mudah bagimu, syukur jika kau boleh mengetahui perilakunya lebih dari itu."


Said gembira sekali mendengar nasihat ayahnya. Ia pun mempraktikkan cara mencari teman sejati yang cukup aneh itu. Mula-mula ia mengundang anak-anak para pembesar kerajaan satu persatu. Sebahagian besar daripada mereka marah-marah kerana hidangannya tidak keluar-keluar. Bahkan ada yang pulang tanpa minta diri dengan hati kesal. Ada yang memukul-mukul meja. Ada yang melontarkan kata-kata tidak terpuji, memaki-maki kerana makanan nya lama sekali keluarnya.


Di antara teman anak raja itu ada yang bernama Adil, anak seorang menteri. Said melihat sepertinya anak yang baik hati dan setia. Maka ia ingin mengujinya. Di undanglah Adil untuk makan pagi. Adil memang lebih sabar di bandingkan anak-anak sebelumnya. Ia menunggu keluarnya hidangan dengan setia. Setelah di rasa cukup, Said mengeluarkan sebuah piring berisi tiga telur rebus. Melihat itu, Adil berkata keras: "Hanya ini sarapan kita? Ini tidak cukup mengisi perutku!"


Adil tidak mahu menyentuh telur itu. Ia pergi begitu saja meninggalkan Said sendirian. Said diam saja, ia tidak perlu minta maaf pada Adil kerana meremehkan makanan yang telah direbus dengan kedua tangannya. Ia mengerti bahawa Adil tidak lapang dada dan tidak sesuai menjadi teman sejatinya.


Hari berikutnya ia mengundang anak seorang saudagar terkaya. Tentu saja anak saudagar itu sangat senang mendapat undangan makan pagi dari anak raja. Malam harinya sengaja ia tidak makan dan melaparkan perutnya agar paginya dapat makan banyak. Ia membayangkan makanan anak raja pasti enak dan lazat. Pagi-pagi sekali anak saudagar kaya itu telah datang menemui Said. Seperti anak-anak sebelumnya ia harus menunggu waktu yang lama sampai makanan keluar. Akhirnya keluarlah piring dengan tiga telur rebus.

"Ini makanannya, saya ke dalam dulu mengambil air minum," kata Said seraya meletakkan piring itu di atas meja.


Lalu ia masuk ke dalam. Tanpa menunggu lagi, anak saudagar itu terus melahap satu persatu telur itu. Tak lama kemudian Said keluar membawa dua gelas air putih. Ia melihat ke meja ternyata tiga telur itu telah lenyap. Ia terkejut.


"Mana telurnya?" tanyanya pada anak saudagar.
"Telah aku makan."
"Semuanya?!"
"Ya, habis aku lapar sekali."


Melihat hal itu, Said terus tahu bahawa anak saudagar itu juga tidak boleh dijadikan teman setia. Ia tidak setia. Tidak boleh merasakan suka dan duka bersama. Kerana sesungguhnya Said juga belum makan apa-apa.

Said merasa geram dengan sikap anak-anak di sekitar istana. Mereka semua mementingkan diri sendiri! Tidak setia kawan. Mereka tidak layak dijadikan teman sejatinya. Akhirnya ia meminta izin kepada ayahnya untuk pergi mencari teman sejati.


**********


Mulailah Said mengembara melewati hutan, ladang, sawah dan kampung-kampung untuk mencari seorang teman yan baik. Sampai akhirnya, di suatu hari yang cerah, ia bertemu dengan anak seorang pencari kayu yang berpakaian sederhana. Anak itu sedang memikul kayu bakar. Said mengikutinya secara diam-diam sampai anak itu tiba di pondoknya. Rumah anak itu menunjukkan ia sangat miskin. Namun wajahnya dan sinar matanya memancarkan tanda kecerdasan dan kebaikan hati. Anak itu mengambil air wudhu' lalu solat dua raka'at. Said memperlihatkannya dari balik rumpun pepohon. Selesai solat, Said datang dan menyapa:


"Kawan, kenalkan namaku Said. Kalau boleh tahu siapa namamu dan tadi kau solat apa?"
"Namaku Abdullah. Tadi itu Solat Dhuha."


Lalu Said meminta anak itu agar bersedia bermain-main dengannya dan menjadi temannya. Namun Abdullah menjawab: "Kukira kita tidak sesuai menjadi teman. Kau anak orang kaya, malah mungkin anak bangsawan. Sedangkan aku anak orang miskin. Anak seorang pencari kayu bakar."


Said menyahut: "Tidak baik kau mangatakan begitu. Kenapa kau membeza-bezakan orang . Semua adalah hamba Allah. Semuanya sama, hanya taQwa yang membuat orang mulia di sisi Allah. Apakah aku kelihatan seperti anak yang jahat sehingga kau tidak mahu berteman denganku. Kenapa tidak kita cuba beberapa waktu dulu. Nanti kau boleh menilai aku sesuai atau tidak jadi temanmu."


"Baiklah kalu begitu, kita berteman dengan syarat hak dan kewajipan kita sama sebagai teman yang setia-sekata."


Said menyepakati syarat anak pencari kayu itu. Sejak hari itu mereka bermain bersama. Pergi ke hutan bersama. Memancing bersama. Dan berburu kelinci bersama. Anak tukang kayu itu mengajarinya berenang di sungai. Mengajarinya menggunakan panah. Juga mengajarinya memanjat pokok di hutan. Said gembira sekali berteman dengan anak yang cerdas, rendah hati, lapang dada dan setia. Akhirnya ia kembali ke istana dengan hati gembira.


Hari berikutnya, anak raja itu berjumpa lagi dengan teman barunya. Anak pencari kayu itu terus mengajaknya makan di pondoknya. Dalam hati Said merasa kalah, sebab sebelum ia mengundang makan, ia telah di undang makan. Dalam pondok mereka makan seadanya. Sepotong roti, garam dan air putih. Namun Said makan dengan lahap sekali. Ingin sekali rasanya ia minta tambah kalau tidak mengingat siapa tahu anak pencari kayu sedang mengujinya. Kerana itu Said cukup dengan apa yang diberikan kepadanya. Selesai makan, Said mengucapkan hamdalah dan tersenyum. Setelah itu mereka kembali bermain dan Said banyak menemukan hal-hal yang baru di hutan yang tidak ia dapatkan di dalam istana. Ia diajari temannya itu mengenali jenis dedaunan dan buah-buahan di hutan. Mana daun dan buah yang boleh dimakan, yang boleh di jadikan ubat dan yang beracun.



"Dengan mengenal baik jenis buah dan dedaunan di hutan, kita tidak akan susah jika suatu kali tersesat. Sebab persediaan makanan ada di sekitar kita. Inilah keagungan Allah!" kata anak pencari kayu.


Seketika itu Said tahu bahawa ilmu tidak hanya dia perolehi di madrasah seperti yang ada di ibu kota kerajaan saja. Ilmu ada di mana-mana. Bahkan ada di hutan sekalipun. Hanya itu Said, banyak mendapatkan pengalaman yang berharga. Tatkala matahari sudah condong ke Barat. Said minta diri pada sahabatnya untuk pulang, tidak lupa Said mengundangnya makan di rumahnya besok pagi. Ia memberikan secarik kertas pada temannya itu.


"Pergilah ke ibu kota, berikan kertas ini pada tentera yang kau temui di sana. Ia akan menghantarmu ke rumahku," kata Said sambil tersenyum.
"Insya Allah aku akan datang," jawab anak pencari kayu.


Pagi harinya, anak pencari kayu itu sampai juga ke istana. Ia tidak menyangka sama sekali kalau Said adalah anak raja. Pertama ia ragu untuk memasuki istana, tapi mengingatkan kebaikan dan kerendahan hati Said selama ini, ia berani masuk juga. Said menyambutnya dengan dengan mesra dan senyum gembira. Seperti anak-anak sebelumnya yang telah hadir di ruang makan itu, Said pun menguji temannya ini. Ia membiarkannya menunggu lama sekali. Namun anak pencari kayu itu sudah terbiasa lapar. Bahkan pernah tidak makan selama tiga hari. Atau kadang-kadang makan daun-daun mentah saja. Selama menunggu, ia tidak memikir makanan sama sekali. Ia hanya berfikir seandainya semua anak bangsawan boleh sebaik anak raja ini tentu dunia ini akan tenteram. Selama ini ia mendengar bahawa anak-anak pembesar kerajaan suka buat huru-hara. Tapi ia menemukan seorang anak raja yang santun dan soleh. Akhirnya keluarlah tiga butir telur masak.

Said mempersilakan temannya untuk memulai makan. Anak pencari kayu bakar itu mengambil satu. Lalu mengupas kulitnya dengan perlahan-perlahan. Sementara Said mengupas dengan cepat dan menyantapnya. Lalu dengan sengaja Said mengambil yang ketiga mengupasnya dengan cepat dan melahapnya. Temannya selesai mengupas telur. Said ingin melihat apa yang akan dilakukan temannya dengan sebutir telurnya itu, apakah akan dimakannya sendiri atau...?
Anak miskin itu mengambil pisau yang ada berdekatan di situ. Lalu membelah telur itu jadi dua. yang satu ia pegang dan yang satunya ia berikan pada Said. Tak hayal lagi, Said menangis terharu. Said seraya memeluk anak pencari kayu itu era-erat seraya berkata:


"Engkau teman sejatiku! Engkau teman sejatiku! Engkau temanku masuk syurga."


Sejak itu keduanya berteman dan bersahabat dengan sangat akrabnya. Persahabatan mereka melebihi saudara kandung. Mereka saling mencintai dan saling-menghormati kerana Allah SWT. Kerana kekuatan cinta itu mereka bahkan sempat bertahun-tahun mengembara bersama untuk belajar dan berguru pada ulama yang tersebar di Turki, di Syiria, di Iraq, di Mesir dan di Yaman.


Setelah berganti-ganti bulan dan tahun, keduanya akhirnya menjadi dewasa. Raja yang adil, ayah Said meninggal dunia. Akhirnya Said diangkat menjadi raja menggantikan ayahnya. Menteri yang pertama dia pilih Abdullah, anak pencari kayu itu. Abdullah pun benar-benar menjadi teman seperjuangan dan penasihat raja yang tiada duanya. Meskipun telah menjadi raja dan menteri, keduanya masih sering melakukan solat tahajjud bersama dan membaca Al-Quran bersama. Kecerdasan dan kematangan jiwa keduanya mampu membawa kerajaan itu maju, makmur, dan jaya.


"Baldatun thayyibatun wa Rabbun Ghafir."



Dipetik dari : Sarjana Al-Azhar, Cairo Mesir.


**********


PENGAJARAN :


Belajarlah berkorban untuk sahabat. Jangan jadi sahabat yang parasit, hanya pentingkan diri! Belajarlah untuk memahami kerana di situlah letaknya erti sebenar persahabatan.